Percintaan
Fahamilah bahasaku apabila aku menyatakan yang DIRIKU itu adalah CINTA. Daripada bahasa Percintaanlah terjadinya kasih sayang yang dimaterikan dengan perkahwinan. Perkahwinan adalah salah satu jalan daripada seribu macam jalan untuk mengenal PENCIPTA. Di dalam perkahwinan itu wujud seribu perasaan yang membawa cinta yang sebenar itu tumbuh di dalam hati.
Tersebut pada mereka yang mendapat jalan daripada Pencipta akan jalan mereka yang mereka gapai daripada alam perkahwinan, Pencipta itu wujud di dalam hati masing-masing. Dengan merasakan cinta itulah, wujudnya cinta yang menerbitkan sebuah kelahiran baru yang bersempenakan dengan kelahiran anak-anak yang hasilnya daripada benih percintaan antara ibu dan bapanya.
Kelahiran demi kelahiran atas nama cinta ini, membuahkan perkenalan antara manusia dengan alam kasih sayang yang tiada taranya. Percintaan adalah jalan utama untuk mengenal Yang Esa. Perkahwinan itu adalah alam yang dipenuhi dengan misteri kejadian yang Menciptakan Manusia. Laluilah jalan perkahwinan dengan penuh kesabaran. Nescaya tumbuh kasih sayang yang sebenar yang wujud daripada hasil perkenalan dengan Yang Esa.
Khabar ini perlu disampaikan kepada seluruh umat manusia kerana manusia memandang perkahwinan sebagai jalan menderita. Bukan. Perkahwinan adalah salah satu jalan untuk menggapai CINTA yang sebenar-benar cinta. Segala macam bentuk perkelahian yang terbentuk antara kedua mereka itu adalah jalan untuk membentuk DIRI yang sebenar-benar diri dalam menggapai CINTA ILAHI.
Memberi tanpa sebab, itulah CINTA. Mendengar kerana mahu mengasihani, itulah CINTA. Tertebarlah percintaan itu dalam kasih yang benar dirasa kasih sayangnya di alam perkahwinan itu sendiri. Laluilah alam ini dengan penuh daya, penuh rasa, nescaya mendapat marjan yang tersembunyi di dalamnya.
Comments