Menyendiri
Kepada yang memilih untuk menyendiri di dalam mendapatkan ketuhanan itu, perlulah terlebih dahulu bertanya kepada diri, adakah aku ini terpilih pada jalan ini? Kebiasaan masyarakat yang memahami setiap jalan spiritual untuk MENGENAL itu perlu dilalui dengan sendiri-sendiri, adakah sudah mengerti akan KEHEBATAN ujian di jalan ini? Bukanlah semua mampu menjalani latihan ketuhanan yang membawa diri kepada alam yang cukup sendiri. Mengertilah bagi mereka yang terpilih melalui jalan menyendiri, ia bukanlah sesuatu yang ingin mereka lakukan, melainkan ia berlaku kerana mereka mampu untuk menjalani jalan itu. MENGENAL bukanlah terduduki pada jalan menyendiri, melainkan ia hadir pada sesiapapun yang diberikan KURNIA olehnya. Gagal untuk kita mengerti manusia yang memilih untuk bersendiri, kerana ia jalan yang begitu bahaya melainkan ia benar bagi yang benar-benar merasa terpanggil untuknya. Ia berlaku dalam bentuk panggilan yang GAGAL ditolak, hatta bukanlah dengan kemahuan sekalipun, melainkan ia perlu begitu pada hakikat perjalanan yang dibentuk begitu. Ia perlu halus di dalam diri untuk kita benar-benar mengerti akan ketekunan yang perlu dilalui daripada jalan ini. Jiwa yang mengerti pun, hatta boleh gagal di tengah perjalanan, kerana bukan semua yang mampu untuk mendalami jalan menyendiri. Jangan terburu-buru dalam membawa diri kepada jalan menyendiri, ia bukan paksaan. Ia adalah kemahuan yang datang secara terpanggil dan ditolak perlahan-lahan oleh kehendak diri yang tidak mahu kepada jalan ini. Ia bukan panggilan yang terus disahut dengan penuh semangat berkobar-kobar. Jangan jatuh kepada nafsu untuk MENGENAL. Laluilah kehidupan sebagai seorang manusia yang benar syariat hidupnya. Laluilah kehidupan manusia yang makan minum bekerja berkahwin secara duniawi, dan seringlah berdoa untuk MENGENAL melalui jalan yang akan dipilih-NYA.
Comments