top of page

Our Recent Posts

Archive

Tags

Hammam Al-Hariths

Kekasih Hati

"Meninjau alam manusia sebagai Ruhi itu adalah satu pengalaman yang berharga. Telah diperletakkan manusia sebagai seorang Khalifah di muka bumi kerana halusnya penciptaan Manusia itu. Bahasa kami terlalu halus jika ingin dipandang sebagai manusia biasa. Kami bicara secara hakikat tentang hakikat Sang Kekasih. Fahamilah suatu bentuk kehalusan. Moga diberikan pemahaman oleh Allah SWT."


Membicarakan perihal kekasih itu membuatkan kita terpana. Seolah melihat Bulan di Malam Hari. Ia menerangi kegelapan malam. Ia membuatkan kita semua tertumpu kepada Bulan kerana CAHAYANYA. Begitulah Sang Kekasih, apabila ia telah terperangkap di alam percintaan antara dia dan Kekasihnya. Alam ini begitu indah. Ia mempersona.


Bagi mereka yang menjalani latihan ketuhanan secara terus dengan Allah, maka jalan asyik bercinta itu menjadi satu jalan pengasingan diri yang perlu bagi mereka yang perlu jauh dengan manusia. Kehadiran mereka di alam manusia membawa kesesatan daripada sudut bahasa kerana bahasa mereka menyimpang jauh tentang makna cinta. Cinta jadi terlampau halus. Cinta sehingga hilang diri. Cinta yang membawa suasana yang begitu terasing daripada takrifan dan makna manusiawi.


Gemilangnya cinta sehinga cinta menjadi bahan untuk diperbahaskan di mana-mana pun. Kami hanya mengutuskan pemahaman daripada penulisan kami kerana manusia telah menjadi pengejar cinta. Alam cinta menjadi idaman setiap diri. Namun hakikat cinta itu perlu diperjelaskan jua, supaya tidak lupalah kita semua kepada yang Menciptakan kita.


Alam diri terlalu indah apabila diperhiaskan dengan cinta. Alam perkahwinan adalah jalan syariat yang membawa kepada keasyikan antara dua manusia pada awalnya. Tetapi alam ini disalahfaham sebagai jalan yang membawa bencana bagi mereka yang gagal memahami cinta. Cinta di alam perkahwinan memerlukan sesuatu yang dipanggil pengorbanan. Antara dua hati itu, terlalu banyaklah pengorbanan demi pengorbanan yang berlaku antara mereka berdua. Yang menyusahkan hati apabila hati itu gelap, gagal memahami hakikat cinta.


Cinta tidak pernah menyesatkan,melainkan dengan cinta itulah kita berkenalan dengan Pencipta. Cinta tidak pernah jauh dengan kita semua. Ia hadir sebagai satu persembahan kepada hati. Yang membuatkan hati kita senantiasa dialirkan dengan kasih sayang. Cinta yang membawa hati seseorang mengembara masuk ke alam yang diciptakan-Nya. Alam ini banyak. Terlalu banyak alam untuk dikenal. Namun alam perkahwinan adalah satu alam yang cukup sempurna sebagai perkenalan dengan Yang ESA. Bagi mereka yang melalui perkahwinan tanpa pengetahuan tentang hakikat cinta, cinta itu menjadi satu subjek yang begitu diidami, namun cinta itu jugalah yang membawa sakitnya hati. Ia terjadi kerana cinta itu tidak dipacak dengan TANDA TANYA, CINTA ini asalnya daripada SIAPA? Selamilah At-Taubah surah yang kesembilan daripada ayat yang ke dua puluh empat tentang cinta yang tidak dipacak dengan Tanda Tanya , cinta ini asalnya daripada SIAPA.


Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).


Persoalan begitulah yang diperlukan bagi mengenal hakikat dalam alam perkahwinan. Perkahwinan akan gagal kerana makna cinta tidak disemai pada hati dan jiwa sang pencinta. Percintaan di dalam perkahwinan mudah pudar seandainya ia tidak DIPACAK dengan tanda tanya, CINTA ini asalnya daripada SIAPA? Persoalan begitu perlu. Ia perlu dicari. CINTA yang diasaskan untuk kedua manusia ini apakah PUNCANYA. DARIPADA mana ia datang...


Percintaan yang berasaskan TAUHID yang benar tidak mungkin pudar, kerana cahaya cinta itu senantiasa digilap untuk lebih mengenal. Asas cinta itu sudah kukuh di dalam alam Tauhid itu sendiri, lalu cinta itu berkesinambungan di dalam asas perkahwinan jadinya. Manusia yang mengenal Allah membuatkan perkahwinan menjadi satu alat baru untuk lebih mengenal akan DIRINYA. Lebih indahlah perjalanan diri yang MENGENAL PENCIPTA.




Comments


bottom of page