Kekasih Duniawi
Jikalau hati kita itu telah pun dipenuhi dengan Allah, maka segala yang kita lakukan pun hanyalah kepada-NYA semata-mata, hatta satu kebejatan sekalipun, ia berlaku se-izin-NYA. Kemandirian manusia, bertitik tolak daripada PENGALAMAN. PENGALAMAN-PENGALAMAN itulah yang membina bahagia pada diri kita, atas segala hikmah yang kita kutip satu persatu sebagai AMALAN MULIA pada hati. Kewanitaan yang matang dirinya dibina atas dasar pengalaman berharga dalam memori duka. Kedukaan itu tidaklah lagi melandai permaisurimu kini wahai kekandaku, kerana aku bersih daripada dukacita kininya. Kebersihan ini bukanlah untuk aku jaja betapa hebatnya perjalanan kedukaan ku dahulunya, melainkan ia adalah hikmah-hikmah yang aku kutip berlandaskan pengalamanku bersama dukacita diri. Diri yang pernah selalu berkecil hati dengan semua manusia ini ingin melarikan dirinya daripada dikecewakan manusia lagi, tetapi, ia bukan sesuatu yang melandai diri yang mahu menyendiri kerana ILAHI. Kekecewaan manusia itu aku pupuk sebagai satu jalan, mengejar CINTA ILAHI, dan kedukaan itu aku manfaatkan ketika aku membersihkan duka lara ku yang lalu. Permaisurimu bersedia kini, untuk -dimiliki. Kekandaku, maafkan aku kerana pelarian dasyatku daripadamu, kerana aku tidak pernahlah yakin akan diriku sendiri akan kembalinya aku kepada tahta kepermaian diri. Aku langsungkan perjalanan diriku dengan seribu pemilikan penuh kepada diri yang ajaib di alam selain manusia. Di situ, aku letakkan segala bentuk tenagaku, agar aku kembali pulih kepada kemanusiaanku. Pengalamanku, bukanlah sesuatu yang dapat difahami manusia biasa, termasuk kekandaku itu.
Pemilikan kepada pemilikan yang berlaku di setiap alam itu berbeza hakikatnya, terutama pabila ALLAH SWT mengkehendaki aku untuk menerima duka daripada lelaki-lelaki yang pernah ingin memiliki. Kejiwaanku rosak, dirosakkan cinta yang aku anggap akan berdiri lama di dalam diri. Ketiadaan cinta lelaki buat kesekian lama itu bersendirilah aku di dalam KECINTAAN yang aku gelarkan -mencari diri-. KESENDIRIAN yang sendiri itu aku pergunakan untuk menyelami pelbagai langkah-langkah kedalaman yang membawa aku mengerti akan hakikat demi hakikat akan pelbagainya alam ini. KECINTAAN antara alam yang aku alami bersamamu, dan ia penuh dengan duka lara sepertinya tidak sama dengan alam bersendiri. Duka lara itu gagal sekali lagi aku temui penyembuhnya, melainkan aku berlari pergi. Tiadalah niat di hati meninggalkanmu, melainkan aku hanya ingin menemui DIRINYA kembali. Hakikat perjalanan diri, membuatkan diriku terjejas banyak dengan manusiawi, seolah aku ini tidak mahu lagi kembali sebagai manusia yang sering penuh hidupnya dengan tanggungan dan bebanan yang tidak membawa kepada apa-apa pengamalan jiwa. Keadaan hati yang suram akibat seribu kejadian yang tidak dipahami dirimu itu membuatkan aku membawa diriku pergi. Hakikat pelarian itu bukanlah satu keadaan yang aku ingin, melainkan langkah itu cuma satu langkah yang terus menyendiri. Bungkam ketika dipertemukan dengan yang begitu dicintai. Kini, aku menyedari sesuatu, hakikat diriku kembali menjengah kepada manusia secara sepenuhnya, dan ia adalah langkah awal untuk menemui dirimu. Kembali aku kepada manusia itu bukan untuk apa-apa melainkan ia sebahagian daripada perjalanan diriku semata-mata. Kembalikan aku kepada kekasihku Ya ALLAH, aku berdoa. Semoga rahmat dan sejahtera itu KAU pupuk di dalam hati kami berdua lantas menjadilah sesembahan itu pecah syiriknya. Alam menjadikan kekandaku itu seorang yang gelap hatinya, landai jiwanya tanpa seorang pembimbing, maka engkau pertemukan dua jiwa untuk disatukan demi-MU. Tidaklah aku melangkah pergi, melainkan hanya keranaMU.
Comments