Al-Hadiid (20-23)
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
(Al-Hadiid 57:20)
Ayat ini bermaksud, manusia yang sombong, bongkak dan tidak mengenal Allah, terpedaya dengan kenyataan (rupa, bentuk) dan apa yang terlihat dengan mata kasar. Mereka bermegah, kerana mereka tidak mengenal. Mereka bermegah, dengan kepalsuan tanpa mengerti itu adalah kepalsuan. Mereka menyangka ianya ultimate , segala-galanya.
Lalu, hati mereka pun menjadi kecewa, kerana yang diharapkan, yang diharapkan kekal selama-lamanya, layu. Lalu di mana yang kekal? Di mana yang kekal?
Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.
(Al-Hadiid 57:21)
Ayat ini memberi jawapan kepada yang bertanya tadi. Di mana yang kekal? Di mana yang kekal? Yang kekal itu syurga. Syurga itu penerangannya adalah berkait dengan KELAPANGAN, KELUASAN (HIDUP). Syurga itu tidak berupa, tidak berjasad, tidak nampak pada mata kasar manusia.
Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
(Al-Hadiid 57:22)
Ayat ini kembali menceritakan kehidupan yang berlangsung di muka bumi. Pasti ada susahnya, apabila dimensinya bumi.
(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
(Al-Hadiid 57:23)
Ayat ini bermakna, selagi ia bumi, maka, akan ada yang luput setelah diberikan.
***
Persoalannya, ya, dunia ini ada yang luput. Namun mengapa kehendak terdalam itu begitu haus akan yang kekal? Katanya nanti, di sana, namun mengapa hausnya di sini? Syurga? Apa makna syurga yang sebenarnya?
Andai persoalan ini sudah muncul, terbit daripada benak jiwa terlahir, maka sudah tiba waktunya anda berjalan.