top of page

Our Recent Posts

Archive

Tags

aszifaris

Kisah Penglipur Lara (4): Hari Misteri

"Apa yang aku mimpi tadi ya". Wanita tua itu seolah-olah baru mula merenung mimpi-mimpinya.

Dicapainya pensel dan jurnal yang sentiasa dibawa ke mana-mana sahaja. Jari-jemari itu pantas melakar sesuatu.

***

Setelah beberapa ketika dirinya asyik dan tekun dengan lakaran, akhirnya wanita itu bersuara, "ya, pasti, inilah wajah-wajah yang muncul dalam mimpi-mimpiku."

Wajah dua lelaki misteri yang muncul dalam mimpi pertama dan dan mimpi kedua dilakarnya sebagai nota.

Wanita tua itu terus membelek-belek lukisan tangannya, sekejap didekatkan jurnal itu dengan matanya, sekejap dijauhkan pula, "aku kenal ka mereka ni?" Wanita itu bercakap sendirian sambil mengerut-ngerutkan wajahnya.


Setelah beberapa lama merenung wajah-wajah tersebut, jurnal itu akhirnya ditutup rapat. Wanita tua itu bingkas bangun dan mempercepatkan langkah sambil memegang perutnya. "Aduh, lapar pula," bisik hati kecilnya. Mindanya terbayangkan ayam goreng rangup, andai dapat dijamah pada waktu ini, wah, pasti menyelerakan.


Dia kemudiannya berhenti di sebuah warung kecil, papan tanda di warung tersebut tertera "WARUNG KAK LIMAH".


"Warung apa ni, tak pernah aku nampak warung ni di kawasan ni." bisik hati kecilnya. Terdapat ramai orang di warung tersebut. Wanita tua itu pun masuk ke warung tersebut dan duduk di meja yang masih kosong.


Lalu muncul seorang wanita dengan pakaian serba putih bertudung rapi.


"Cik, nak makan apa?".


"Ar, ada jual apa ya di sini?"


"Semua ada cik, sebut sahaja, nescaya kami akan menyediakannya untuk cik."


"Ar, ayam goreng rangup ada?". Soal wanita tua itu.


"Ada, nak order set mana?" balas wanita berpakaian serba putih itu sambil menghulurkan menu makanan.


"Yang ni", sambil jari telunjuk wanita tua itu menuding kepada menu.


"Oh, Snack Plate. Cik nak ayam goreng spicy atau original?" tanya wanita itu.


"Spicy", balas wanita tua itu.


"Airnya cik?" soal wanita berpakaian serba putih.


"Teh-o-ais limau".


"Baik, cik tunggu dalam sepuluh minit, insyaallah kami sediakan ya untuk cik." Balas wanita itu mesra sambil bergegas pergi.


Suasana di warung itu hingar-bingar. Terdapat ramai orang yang singgah makan di situ. Sedang wanita tua itu menanti hidangannya, seorang gadis muda datang menghampiri wanita tua tersebut.


"Cik, beli buku cik, 50% daripada keuntungan akan didermakan kepada anak yatim." Seorang gadis muda awal 20-an menyapa lembut.


"Yang ini naskah terkini cik, pek berkembar, kami sedang promosi, boleh dapat harga lebih murah daripada biasa." Gadis itu meletakkan dua naskah buku tebal itu di atas meja wanita tua tersebut. "Cik boleh tengok-tengok dulu".


Wajah wanita itu sedikit kelat. Dia terkedu. Dua naskah buku tebal ini lah yang muncul dalam mimpinya sebentar tadi. Wanita tua itu menelan air liurnya. Terketar-ketar tangannya membelek kedua-dua buku tersebut. Dia takut untuk membeli buku yang muncul dari mimpinya.

"Harganya berapa cik, saya ni tak berapa ada duit nak beli buku tebal-tebal macam ni". Wanita tua itu mula berhelah, perasaan takutnya menghalang dia daripada membeli buku-buku tersebut, walaupun wujud perasaan ingin tahu.


"Cik tak ada duit? Kalau macam tu, ambillah, cukup bayar saya RM2 sahaja sebagai pengerasnya".


Wanita tua itu seolah-olah dipukau. Dia tidak dapat mengawal perbuatannya. Tangannya bergerak sendiri mencapai wang kertas RM2 lalu diberikan kepada gadis tersebut. Mulutnya seolah-olah terkunci. Gadis itu mengambil wang kertas tersebut lalu terus berlalu pergi, meninggalkan dua naskah buku di meja wanita tua tersebut.


"Snack Plate cik."


Hidangan yang sampai mengejutkan wanita tua itu, dia seolah-olah terjaga semula daripada "pukauan" yang berlaku sebentar tadi.


"Ya, terima kasih."


Wanita tua itu hanya diam dan termenung panjang. Hidangan ayam rangup spicy terus dijamahnya perlahan-lahan. Dia makan sambil memikirkan apa yang sedang berlaku pada dirinya. Dilihat sahaja dua naskah buku tebal itu.


Selesai sahaja makan, wanita itu terus ke kaunter bayaran.


"Berapa cik?." Tanya wanita tua itu kepada wanita berpakaian serba putih itu.


"Oh, hari ini makan percuma cik. Kami baru sahaja buka kedai, semua orang makan percuma harini". Balas wanita berpakaian serba putih itu sambil tersenyum manis.


Wanita tua itu mengucapkan terima kasih kepada wanita berpakaian serba putih itu. Dia membimbit buku-buku yang dibelinya tadi. Sekali lagi dia mengelamun panjang, mengenangkan hari misteri yang dilalui dirinya.





bottom of page