Kisah Penglipur Lara (3): Baghdad
Dalam tidurnya, wanita tua itu sekali lagi bermimpi.
"Eh, aku mimpi lagi. Selalu begini, selalu sedar yang aku sedang bermimpi dan sedang mengembara di dalam mimpi-mimpiku".
Sedang terleka berjalan, wanita itu disapa seorang lelaki, agak muda, berusia 30-an mungkin.
"Anti ini siapa, ada apa hajat datang bertemu ana?" Tegur lelaki tersebut.
"Ah, tak ada apa, cuma mungkin ana tersesat di dalam mimpi ana sendiri", balas wanita tua itu seperti ketakutan. Ketakutan kerana situasi mimpi tiba-tiba bertukar sekelilingnya kepada persekitaran sebuah madrasah.
"Sesat juga merupakan awal kepada jalan penemuan." Balas lelaki itu sambil tersenyum manis.
"Sesat juga merupakan awal kepada penemuan? Maksud anta?" Soal wanita tua itu seperti berminat untuk melanjutkan perbualan.
Lelaki itu ketawa tanda berseloroh. "Ya, maksud ana, sesat itu bagus apabila kita menyedari yang kita sesat. Menyedari yang kita sesat adalah tanda kepada bakal bertemu jalan." Sekali lagi, lelaki itu ketawa berserta senyuman manis. Senyuman yang sungguh menambat hati mana-mana wanita yang melihatnya.
"Ar, sebelum kita berbual lebih lanjut, maaf ana ingin bertanya, ana sedang berada di mana kini?" Tanya wanita tua itu kepada lelaki tersebut.
"Al-Nizamiyya di Baghdad, ana mengajar di sini". Balas lelaki itu, mesra.
"Sampai ke Baghdad pula aku ni, patutlah dok ber-enta-enti daripada tadi, macam mana nak balik ni". Wanita tua itu bermonolog sendirian.
"Er, macam mana ana nak pulang ya, ni jauh ni, sampai ke Baghdad pula". Tanya wanita itu, wujud perasaan tidak selesa pada dirinya apabila berdepan dengan seseorang yang mula menambat hatinya.
Lelaki itu ketawa lagi. Tiba-tiba wajah lelaki itu berubah, wajah yang masih sama, cuma telah berusia, 50-an mungkin. Wanita itu sekali lagi tergumam, namun dia sedari, inilah dunia mimpi, apa-apa boleh terjadi.
"Orang yang sesat, perlu mencari jalan pulang sendiri, cuma ana mungkin boleh menghadiahkan sedikit panduan". Tiba-tiba muncul dua naskah buku pada tangan lelaki itu, satunya agak tebal, satunya kurang tebal, yang mana keduanya pun sebenarnya tebal-tebal belaka.
"Nah, buat anti, panduan hanyalah peta kepada tujuan. Andaikata pada suatu hari nanti anti telah pulang, hargailah panduan ini sebagai hanya peta, bukan tujuan."
Lalu wanita itu terjaga.
"Ah, aku mimpi lagi". Matanya sedikit bakup kerana begitu lama tertidur. Namun badannya mula terasa segar. Rasa haus ditekak membawa wanita itu berjalan ke sungai berdekatan. Dia membasuh muka dan menghirup-hirup air daripada tapak tangannya.
"Apa yang aku mimpi tadi ya". Wanita tua itu seolah-olah baru mula merenung mimpi-mimpinya.